Facebook Badge

Wednesday, February 3, 2010

Mana Lebih Penting, SBT atau Anak-anak Di Pedalaman?

1. Pengumuman 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini menimbulkan tanda tanya dan sinisan daripada sebahagian rakyat terutamanya yang berada di luar bandar.

2. Sekolah-sekolah yang diumumkan memang diakui mempunyai tradisi dan sejarah kecemerlangan tersendiri. Dengan kata lain kita tiada sebab untuk mempertikaikan mahu pun meminta kerajaan menilai semula pemilihan sekolah-sekolah ini.

3. Tanpa menafikan dedikasi dan budaya pembelajaran yang hebat di sekolah-sekolah ini, bukanlah ilusi bahawa kecemerlangan sekolah-sekolah ini juga turut dipengaruhi oleh kedudukan di kawasan bandar dan kebanyakan pelajarnya datang daripada keluarga yang berpendidikan dan berpendapatan tinggi. Manakala sebahagian lagi pula merupakan sekolah asrama penuh yang sememangnya telah melakukan pemilihan ke atas pelajar terbaik dari seluruh negara.

4. Orang ramai tertanya-tanya, apakah langkah pengwujudan SBT ini satu usaha meningkatkan kualiti pendidikan atau menjarakkan lagi kualiti pendidikan bandar dan luar bandar?

5. Hari ini pun ada ibu bapa yang berebut-rebut untuk memasukkan anak mereka ke sekolah tertentu yang mempunyai sejarah kecemerlangan. Ada ibu bapa sanggup menghantar anak mereka ke sekolah yang jauh dari rumah semata-mata untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak. (Lihat sahaja jika di musim cuti sekolah banyak kawasan yang selalunya mengalami kesesakan lalu lintas akan menjadi biasa sahaja.)

6. Dengan pengenalan SBT ini makin ramailah yang akan berusaha menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini, terutamanya sekolah harian. Maka pelbagai lobi, surat sokongan serta "hubungan baik" akan digunakan untuk membolehkan anak-anak mereka masuk ke sekolah tersebut.

7. Malahan tidak mustahil pula bagi mereka yang tinggal berhampiran sekolah tersebut tidak mendapat tempat kerana telah penuh. Juga tidak mustahil akan ada sekolah ini yang memilih pelajar tertentu sahaja bagi memastikan prestasi sekolah terus kekal sedemikian. Akhirnya hanya segelintir akan bergembira, ramai yang tidak berpuas hati.

8. Kita telah pun ada Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)yang menumpukan kepada kualiti pembelajaran. Suatu ketika SBP dan MRSM bertujuan memberi peluang kepada pelajar luar bandar yang cemerlang mendapat pendidikan, penginapan dan makanan yang baik. Hari ini ramai juga di kalangan anak mereka yang berpendapatan tinggi turut masuk ke sekolah ini.

9. Walaupun begitu, mereka ini terpilih menikmati satu sistem yang berbeza kerana telah melalui ujian dan peperiksaan serta lulus dengan cemerlang. SBP dan MRSM bertujuan menyediakan satu langkauan pendidikan bagi mereka yang cemerlang. Mereka telah lepasi ujian yang diperlukan.

10. Namun pengenalan SBT sangat mengelirukan. Ia memberi kelebihan kepada pelajar tertentu tanpa perlu melalui ujian atau tapisan yang sewajarnya. Kelebihan yang diperolehi adalah berdasarkan "nasib baik" mereka bersekolah di sekolah berkenaan.

11. Pemberian beberapa kelonggaran dan peruntukan yang besar kepada SBT ini menimbulkan pertanyaan dan kemarahan kepada ibu bapa yang berada di kampung mahu pun yang gagal memasukkan anak-anak mereka ke sekolah ini.

12. Bagaimana pula dengan nasib anak-anak sekolah lain terutamanya di luar bandar. Lebih menyedihkan ialah bagaimana nasib anak-anak di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak yang masih lagi di sesetengah kawasan belajar dalam keadaan daif?

13. Terdapat banyak rungutan guru-guru bahawa pengurangan bajet Kementerian Pelajaran kepada sekolah-sekolah menyebabkan banyak aktiviti pendidikan dan sokongan tidak dapat dijalankan.

14. Namun dalam masa yang sama Kementerian pengumumkan setiap SBT mendapat RM 700 ribu setahun. Ini menimbulkan persoalan baru, mengapa Kementerian pelajaran memotong bajet untuk sekolah biasa tetapi boleh pula memberi peruntukan sedemikian besar kepada SBT.

15. Apakah kecemerlangan anak-anak di SBT lebih utama berbanding anak-anak di seluruh negara yang tiada peluang berada di SBT? Seperti yang saya nyatakan di atas bahawa SBT ini sungguhpun sebahagiannya sekolah harian merupakan sekolah di bandar dan kebanyakan ibu bapa merupakan golongan berada. Justeru mereka mampu menyediakan pendidikan tambahan kepada anak-anak mereka berbanding ibu bapa di sekolah biasa terutamanya di luar bandar.

16. Jadi di mana keutamaan Kementerian Pelajaran? Kementerian sepatutnya menumpukan sekolah yang tertinggal terlebih dahulu, berbanding memberi bantuan kepada sekolah yang telah cemerlang dan mempunyai budaya pembelajaran yang sudah cukup baik serta sokongan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang kuat.

17. Menurut YAB Tan Sri Muhyiddin, "Kita ada ranking kesemua 10,000 sekolah, baik di Sabah, Sarawak dan Semenanjung dan tahu daripada jumlah itu di tahap mana prestasi sekolah-sekolah itu."

18. Justeru bukankah lebih baik dan afdal Kementerian menumpukan kepada sekolah-sekolah yang berada di rangking terbawah terlebih dahulu supaya mereka mampu melahirkan pelajar yang cemerlang sama seperti sekolah yang telah sedia cemerlang.

19. Berilah tumpuan kepada sekolah-sekolah luar bandar dan pendalaman dahulu. Jika ada masa misalnya bawalah pegawai-pegawai kerajaan pembuat polisi mengembara dari Sandakan ke Tawau dan ke Kota Kinabalu menggunakan kenderaan agar mereka sendiri boleh melihat mana yang lebih perlu diutamakan dalam sistem pendidikan kita.

20. Tujuan untuk mewujudkan budaya bersaing dan budaya kecemerlangan patut disanjung. Namun persaingan harus adil dan setara antara luar bandar dan bandar.

21. Justeru ia tidak pula harus mengorbankan golongan yang lebih memerlukan lebih perhatian kerana menjadi mangsa keadaan hidup dan lokasi di luar bandar. Keutamaan harus kepada sekolah luar bandar dengan menyediakan infrastruktur, bantuan kelas tambahan, komputer dan tenaga pengajar supaya ia sama taraf dan keupayaan dengan sekolah di bandar.

22. Sepatutnya sekolah menjadi satu institusi yang mampu melahirkan individu cemerlang biarpun ia bersekolah di pedalaman sekalipun. Ini kerana sekolahlah yang memainkan peranan besar sama ada melahirkan manusia berguna atau hantu-hantu raya yang penuh dengan masalah sosial.

23. Saya tahu tulisan ini juga mungkin akan menjadi seperti beberapa tulisan sebelum ini yang akan mendapat kritikan keras segelintir pegawai kerajaan. Khabarnya ada pegawai kanan kerajaan mengkritik blog saya, dalam satu talikmat polisi kerajaan baru-baru ini, sebagai tidak membantu kerajaan dan Barisan Nasional dengan mengambil contoh kritikan saya terhadap Skim Subsidi Beras (Subur).

24. Saya berharap mereka tidak terlalu mengambil berat kritikan blog saya ini. Sebagai bekas Menteri Besar yang dituduh dengan pelbagai fitnah, pengaruh saya tidaklah sebesar mana. Yang mereka perlu risaukan ialah pandangan rakyat di bawah. Jangan nanti rakyat melihat kerajaan hari ini membuat polisi yang tidak ubah seperti tikus membaiki labu.

Posted by Dr Mohamad Khir Toyo at Tuesday, February 02, 2010




Abe Wie : Sangat bersetuju dengan pandangan DS Mohammad Khir Toyo. Pengisytiharan SBT ini akan membuka lebih banyak ruang antara sekolah luar dan sekolah SBT. Bagi Abe Wie kalau diperhatikan kebanyakkan sekolak SBT ialah SBP yang memang sudah mendapat pelbagai kelebihan dari segi peruntukkan dan infrastruktur. Abe Wie harap pandangan dari DS Khir Toyo mendapat perhatian daripada pihak yang berwajib.

Satu lagi yang Abe Wie rasa kurang sesuai dibuat ialah PERMATA - pendidikan Awal Kanak2 dengan belanja beratus juta. Satu soalan dari Abe Wie, apa tujuan Tadika Kemas, Tadika Perpaduan jika nak diwujudkan program lain. Anggapan Abe Wie ialah KEMAS dan perpaduan gagal dalam tanggungjawab - sekadar melepaskan batuk ditangga je atau saja wujud sebab nak beri jawatan kepada para penyokong??????????

1 comment: